Selasa, 20 November 2012

CARA MENGATASI MASALAH GEMURUH Gementar, badan anda tiba-tiba berpeluh, tangan anda mula menggigil, begitu juga dengan bibir anda mula terketar-ketar apabila mengungkapkan kata-kata. Jika anda mengalami perkara ini, jelas menunjukkan anda sedang mengalami rasa gemuruh apabila tampil di khalayak ramai. Gemuruh merupakan perkara biasa apabila kali pertama anda tampil di khalayak ramai. Gemuruh boleh diatasi dengan mudah jika tahu cara mengatasinya. Di bawah ini terdapat beberapa cara yang boleh anda gunakan untuk menghilangkan rasa gemuruh apabila tampil di khalayak ramai. 1. SENTIASA BERTENANG DAN TARIK NAFAS ANDA Sebelum anda menampilkan diri di khalayak ramai sama ada untuk menyampaikan ucapan atau pembentangan adalah penting untuk bertenang seketika dan menarik nafas perlahan-lahan. Ulanglah langkah menarik nafas perlahan-lahan ini dua hingga tiga kali sehingga anda akan berasa tenang dan yakin terhadap penampilan diri di khalayak ramai. Melalui cara menarik nafas perlahan-lahan ini akan membolehkan kadar degupan jantung anda kembali kepada tahap normal. 2. BERLATIH BERUCAPAN SENDIRI DI HADAPAN CERMIN Salah satu cara untuk membiasakan diri tampak yakin apabila tampil di khalayak ramai adalah dengan melatih diri anda seperti sedang berucapan di khalayak ramai. Untuk melatih diri tampil di khalayak ramai, anda boleh membuat latihan berucapan sendiri di hadapan cermin. Cubalah berlatih bercakap di hadapan cermin. Apa yang penting adalah latih diri anda sekerap mungkin dan cuba bayangkan cermin tersebut adalah orang ramai yang sedang melihat anda berucap. Melalui latihan yang konsisten ini akan dapat menghilangkan rasa gemuruh tersebut dan anda pasti tampak lebih yakin di khalayak ramai. 3. BUAT PERSEDIAAN AWAL SEBELUM PEMBENTANGAN DI KHALAYAK RAMAI Jika anda akan membuat pembentangan di khalayak ramai, pastikan diri membuat persiapan awal terhadap pembentangan tersebut. Ini penting bagi mengelakkan rasa gemuruh yang tinggi. Lakukan sedikit latihan atau persediaan berkaitan bahan / perkara yang akan anda bentangkan. Ini penting bagi mengelakkan anda terlupa atau tersalah fakta yang akan disampaikan. Kelebihan melakukan persediaan awal ini, memungkinkan anda melakukan kesilapan berhujah atau member ucapan adalah sangat minimum. Melalui persediaan awal ini akan membuatkan kamu lebih yakin dan dapat mengurangkan gementar di hati. 4. MEMBERI TUMPUAN Setiap perkara yang kita lakukan perlukan tumpuan. Begitu juga dengan situasi anda berhadapan di khalayak ramai. Anda perlu memberikan sepenuh tumpuan terhadap perkara yang ingin dilakukan. Lupakan seketika perkara lain yang anda belum selesaikan. Jika anda terlalu memikirkan banyak perkara, sudah pasti akan terus rasa gementar. Berikanlah fokus yang sepenuhnya kepada perkara yang akan dilakukan dan selepas seselai perkara tersebut barulah anda boleh memikirkan perkara yang lain pula. 5. SENTIASA BERSIKAP POSITIF Banyak kajian menunjukkan sikap positif seseorang akan dapat menghilangkan rasa gementar. Sentiasa sematkan perkara-perkara positif dalam diri bahawa anda yakin dan pasti boleh melakukan perkara dengan baik. Lakukan berulang-ulang kali dengan penuh emosi dan percaya pada diri sendiri.

Kini Blog untuk Para Pelajar telah hadir di Internet

Tidak ada komentar:

Posting Komentar